SINOPSIS PROGRAM DIPLOMA POLITEKNIK UNTUK LULUSAN SPM


KURSUS DIPLOMA BIDANG KEJURUTERAAN

 
D04 - DIPLOMA KEJURUTERAAN AWAM
 
SINOPSIS

Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan awam di samping memberi penekanan khusus kepada aspek kaji air, lebuhraya dan pembinaan. Pelajar perlu menghadiri kuliah teori dan melakukan kerja-kerja praktikal di dalam makmal. Pelajar juga perlu menamatkan latihan industri selama enam bulan. Program pengajian meliputi Bahan dan Binaan Kejuruteraan, Lukisan Kejuruteraan, Ukur Kejuruteraan, Teknologi Konkrit, Teori Struktur, Rekabentuk Struktur, Hidraulik dan Hidrologi, Bekalan Air dan Rawatan Air Sisa, Geoteknik, Aturcara Kontrak dan Taksiran, Aplikasi Komputer dan Pengurusan Pembinaan. Peluang pekerjaan adalah luas di mana lulusan dapat ditempatkan di industri pembinaan atau di jabatan-jabatan kerajaan sebagai Pembantu Teknik. Lulusan juga berpeluang melanjutkan pelajaran mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di universiti-universiti tempatan atau luar negeri.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Politeknik Kota Bharu , Politeknik Kuching, Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz  ShahPoliteknik Dungun, Politeknik Merlimau, Politeknik Tanjong Malim, Politeknik Kulim, Politeknik Sabak Bernam


 
D05 - DIPLOMA KEJURUTERAAN PERKHIDMATAN BANGUNAN

SINOPSIS

Kursus ini melengkapkan pelajar untuk menjadi Pembantu Teknik di Sektor Perkhidmatan Bangunan. Pelajar-pelajar berpeluang melibatkan diri bersama para profesional yang lain di sektor Pembinaan Bangunan. Gabungan ini adalah untuk memastikan setiap bangunan yang dibina menepati keperluan untuk keselesaan penghuni serta menjamin keselamatan mereka. Pelajar juga terlibat dalam merekabentuk sistem perkhidmatan bangunan. Di samping memberi ruangan yang selesa bagi penghuni, pelajar-pelajar juga didedahkan dalam proses penyelenggaraan alatan perkhidmatan bangunan. Kursus ini memberi pengetahuan yang komprehensif tentang perkhidmatan bangunan yang terdapat dalam bangunan seperti sistem pencahayaan, sistem perpaipan, sistem pencegahan kebakaran, sistem bekalan air sejuk dan panas, sistem pembuangan sisa, sistem pengudaraan dan penghawa dingin, sistem elektrik, lif dan eskalator. Peluang kerjaya luas bagi lulusan diploma ini sebagai Penyelia dalam kerja-kerja penyelenggaraan bangunan di sektor swasta ataupun sebagai Pembantu Teknik Awam di jabatan-jabatan kerajaan. Lulusan diploma ini juga boleh melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti tempatan atau di luar negara.
 

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah


 
D06 - DIPLOMA TEKNOLOGI BERASASKAN KAYU

SINOPSIS

Kursus ini mendedahkan pelajar kepada asas dalam aspek teori dan praktikal bagi membolehkan mereka mengendali dan mengawal mesin yang terdapat dalam industri perkayuan dan menghasilkan sesuatu yang baru berdasarkan bahan asas perkayuan. Di samping itu dititikberatkan juga kesedaran kepada para pelajar tentang pentingnya aktiviti perhutanan dengan alam sekitar. Pelajar akan mengikuti kuliah, tugasan reka bentuk dan projek penghasilan produk, kerja makmal dan latihan industri. Kursus ini menawarkan modul reka bentuk binaan kayu, teknologi pengeluaran, pemasaran perdagangan kayu dan pengkosan. Lulusan kursus ini boleh menjawat jawatan Penyelia dan Pembantu Teknik dalam industri perkayuan, komposit kayu dan pembuatan perabot di sektor awam atau swasta. Mereka juga boleh memilih untuk melanjutkan pelajaran.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
 

 
D08 - DIPLOMA SENI BINA

SINOPSIS

Kursus ini bertujuan membentuk kebolehan pelajar sebagai pereka bentuk dalam bidang seni bina. Pelajar-pelajar juga dilatih menyediakan kerja-kerja reka bentuk dan lukisan persembahan seni bina secara konvensional dan terbantu komputer. Di antara mata pelajarannya ialah Lukisan Seni Bina, Reka Bentuk Seni Bina, Bahan dan Binaan, Perkhidmatan Bangunan, Struktur Seni Bina, CADD, Sejarah Seni Bina, Sains Persekitaran dan Amalan Seni Bina. Lulusan diploma mempunyai peluang pekerjaan yang meluas di firma-firma arkitek atau pembinaan sebagai Pembantu Arkitek atau pereka manakala di sektor awam mereka boleh bekerja di jabatan-jabatan kerajaan sebagai Pembantu Teknik Seni Bina atau melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Politeknik Merlimau.


 
D09 - DIPLOMA UKUR BAHAN

SINOPSIS

Kursus ini bertujuan melatih pelajar dalam penyediaan maklumat dan anggaran kos, nasihat kewangan dan pengurusan projek-projek pembinaan. Pelajar juga dilatih untuk menasihati klien dalam masalah kewangan yang melibatkan perancangan, pembinaan, pengurusan dan penyenggaraan bangunan. Di antara mata pelajaran yang diajar termasuk Ukur Kerja Bangunan, Ukur Kerja Kejuruteraan Awam, Bahan dan Binaan, Ekonomi Binaan, Undang-Undang Bangunan, Kajian Kos dan Pengurusan Projek Pembinaan. Lulusan kursus ini boleh ditempatkan sebagai pembantu teknik atau penolong kepada Jurukur Bahan di jabatan-jabatan kerajaan, pejabat-pejabat jurukur bahan, firma-firma pembinaan dan agensi pembangunan atau pelajar boleh menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Kota Bharu , Politeknik Kota Kinabalu


 
D10 - DIPLOMA UKUR TANAH

SINOPSIS

Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ukur tanah khususnya teknik-teknik pengumpulan, pemprosesan, penganalisaan dan persembahan maklumat kedudukan dan bentuk topografi di bumi. Pelajar perlu menghadiri kuliah dan tutorial bagi  teori dan melakukan kerja-kerja praktikal di lapangan dan di dalam makmal. Pelajar juga mesti menamatkan latihan industri selama enam bulan. Program pengajian meliputi modul teras iaitu Ukur Kejuruteraan, Ukur Kadaster, Fotogrametri, Geodesi, Sistem Maklumat Geografi (GIS), Pelarasan Ukur, dan Undang-Undang & Pembangunan Tanah di samping modul elektif seperti Pembangunan Pangkalan Data GIS, Remote Sensing, Alam Sekitar, Statistik dan Asas Pengaturcaraan C++. Peluang pekerjaan adalah luas di mana lulusan dapat ditempatkan di firma-firma ukur dan firma-firma pembinaan swasta atau di jabatan-jabatan kerajaan sebagai Pembantu Teknik Ukur. Lulusan juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah


 
D16 - DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRIK

SINOPSIS

Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam mengguna, menguji, menyenggara dan membaik pulih mesin elektrik dan peranti elektronik. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Kursus ini merangkumi modul Elektronik Kuasa, Sistem Kuasa, Mesin Elektrik, Pengalatan Elektronik, Kawalan Motor, Bekalan Kuasa Elektrik & Kawalan dan Keselamatan Industri. Kursus ini juga menawarkan modul-modul pengkhususan dalam bidang Elektrik seperti Pengalatan Elektronik, Senggaraan Kejuruteraan, Kawalan Motor A.T, Sistem Perlindungan, Bekalan Kuasa Industri, Kawalan Motor A.U dan Projek. Modul-modul elektif juga ditawarkan sebagai pilihan kepada pelajar. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus ini berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Pembantu Teknik dalam bidang industri pembuatan elektronik, penjanaan elektrik, industri petroleum dan gas serta industri perkhidmatan elektrik.

* tidak rabun warna
 

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Merlimau, Politeknik Tanjong Malim, Politeknik Kulim


 
D19
- DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK (KAWALAN) 

SINOPSIS

Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektronik yang menjurus kepada sistem kawalan elektronik di industri. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Selain dari modul asas dalam bidang Elektrik dan Elektronik, pelajar akan mempelajari Elektronik Industri, Sistem Kawalan, Sistem Mikrokomputer, CAD, Sistem Automatik & Kawalan Motor Elektrik dan Keselamatan Industri. Kursus ini juga menawarkan modul-modul pengkhususan dalam bidang Elektronik (Kawalan) seperti Elektronik Perindustrian, Sistem Kawalan, Instrumentasi, Kawalan Motor dan Sistem Mikro Komputer. Modul-modul elektif juga ditawarkan sebagai pilihan kepada pelajar. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus ini berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Pembantu Teknik dalam bidang pembuatan elektronik, penjanaan elektrik, industri petroleum dan gas dan juga industri perkhidmatan elektrik dan elektronik. Lulusan ini juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.

* tidak rabun warna  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah, Politeknik Johor Bahru


 
D20
- DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK (KOMPUTER) 

SINOPSIS

Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam menguji peranti elektrik dan elektronik bagi membaik pulih perkakasan komputer. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Kurikulum kursus ini mengandungi modul Sistem Digital, Pengukuran dan Pengalatan Elektronik, Sistem Pemrosesan Mikro, Akitektur Komputer & Penyenggaraan Komputer serta Kejuruteraan Perisian dan Keselamatan Industri. Kursus ini juga menawarkan modul-modul pengkhususan dalam bidang Elektronik (Komputer) seperti Sistem Mikro Pemproses & Pengawal Mikro, Sistem Komputer & Aplikasi, Pengaturcaraan, Komunikasi Data, Rekabentuk Litar Bersepadu, Diagnosis & Senggaraan Sistem Komputer dan Projek. Modul-modul elektif juga ditawarkan sebagai pilihan kepada pelajar. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus ini berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Pembantu Teknik dalam bidang pembuatan elektronik dan perkhidmatan ICT. Lulusan ini juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:

Politeknik Ungku Omar, Politeknik Kota KinabaluPoliteknik Seberang Perai, Politeknik Dungun, Politeknik Merlimau, Politeknik Sabak Bernam, Politeknik Tanjong Malim, Politeknik Kulim.



 
D23
- DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK (PERUBATAN)

SINOPSIS

Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai aplikasi elektronik dalam sistem perubatan. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Kursus ini melengkapkan pelajar dengan pengetahuan sistem klinikal gunaan serta peralatan yang lazimnya terdapat di hospital dan industri berasaskan perubatan. Kursus ini menawarkan modul-modul pengkhususan dalam bidang Elektronik (Perubatan) seperti Sistem Mikropemproses & Pengawal Mikro, Fisiologi, Pengukuran Fisiologi, Pengimejan Perubatan, Amalan Sistem Perubatan, Sistem Klinikal Gunaan dan Projek. Modul-modul elektif juga ditawarkan sebagai pilihan kepada pelajar. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus ini berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Pembantu Teknik dalam bidang menyenggara dan membaikpulih peralatan klinikal serta menyelia penggunaan peralatan elektronik di hospital. Lulusan ini juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.

* tidak rabun warna  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
 Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah


 
D24
- DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK

SINOPSIS

Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam menguji, membaiki dan menentukur pengalatan elektronik. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Kursus ini mengandungi modul Asas Elektrik dan Elektronik, Pemasangan Elektrik, Sistem Digital, Litar Elektronik, Telekomunikasi, Pengalatan & Kawalan dan Keselamatan Industri. Kursus ini juga menawarkan modul pengkhususan dalam bidang Elektronik seperti Penyenggaraan & Baikpulih Alat Elektronik, Sistem Audio Visual, Sistem Mikropemproses & Pengawal Mikro, Sistem Komunikasi, Sistem Kawalan Automatik, Komunikasi Data dan Projek. Modul-modul elektif juga ditawarkan sebagai pilihan kepada pelajar. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus ini berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Pembantu Teknik dalam bidang pembuatan elektronik, penjanaan elektrik dan kawalan elekronik. Lulusan ini juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:

Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Politeknik Kota Bharu , Politeknik Kuching, Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah, Politeknik Johor Bahru, Politeknik Dungun, Politeknik Merlimau, Politeknik Tanjong Malim, Politeknik Kulim, Politeknik Sabak Bernam, Politeknik Perlis



 
D25
- DIPLOMA TEKNOLOGI MAKLUMAT

SINOPSIS

Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Kursus ini menawarkan modul-modul pengkhususan dalam bidang teknologi maklumat seperti Asas Pengaturcaraan, Perisian Aplikasi, Komputer dalam Teknologi Maklumat, Sistem Digit dan Mikro Pemproses, Pengaturcaraan Visual Basic, Pengurusan Rekod, Sistem Pengoperasian, Komunikasi Data dan Sistem Telekomunikasi, Algorithma dan Struktur Data, Pengaturcaraan C++, Asas Perniagaan, Akitektur dan Organisasi Komputer, Multimedia, Sistem Pangkalan Data, Pengaturcaraan Java, Rangkaian Komputer, Pembangunan Perisian, Visual Basic dengan Pangkalan Data, Pengurusan Perniagaan, Pembangunan Web, Pengurusan Projek, Sistem Maklumat, E-Dagang dan Pengurusan Perisian. Modul-modul elektif seperti Prinsip Mikro Pemproses, Pengurusan SQL Server, Rekabentuk Rangkaian Kampus dan Animasi Digital juga ditawarkan sebagai pilihan kepada pelajar. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus ini berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Pembantu Juru Analisa Sistem dan Juruteknik. Lulusan kursus ini juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang teknologi maklumat.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Ungku OmarPoliteknik Kuching, Politeknik Johor Bahru, Politeknik Seberang Perai, Politeknik Dungun


 
D30
- DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL

SINOPSIS

Kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan pelajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Pelajar akan mengikuti modul pengkhususan seperti Teknologi Kejuruteraan Loji, Rekabentuk Kejuruteraan, Amalan Bengkel Mekanikal, Teknologi Woksyop, Kaji Daya Bahan, Termodinamik, Kaji Daya Mesin, modul-modul teras dan beberapa modul elektif. Peluang pekerjaan adalah luas kerana kandungan kursusnya dan lulusan berpeluang menceburi kerjaya dalam industri kejuruteraan dan pembuatan.

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Politeknik Kuching, Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah, Politeknik Dungun, Politeknik Merlimau, Politeknik Tanjong Malim, Politeknik Kulim.


 
D31 - DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (AUTOMOTIF)

SINOPSIS

Kursus ini memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan seterusnya membawa kepada pengkhususan bidang kejuruteraan automotif. Modul pengkhususan adalah Teknologi Automotif, Amalan Bengkel Automotif, Enjin Pembakaran Dalam, Kajidaya Kenderaan Bermotor, Hidraulik Mobil, Pengurusan Pusat Servis, Peralatan Elektrik dan Elektronik Kenderaan dan Rekabentuk Kejuruteraan di samping modul teras dan beberapa modul elektif. Lulusan dapat mencari pekerjaan dalam pelbagai industri automotif dan industri perkhidmatan yang berkaitan.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Kota Bharu , Politeknik Dungun


 
D32 - DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (LOJI)

SINOPSIS

Kursus ini bertujuan mendedahkan pelajar dengan teori dan praktik untuk membolehkan mereka mengendali dan mengawal loji-loji kuasa di sektor awam dan swasta. Kursus ini juga memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan seterusnya membawa kepada bidang pengkhususan kejuruteraan loji. Modul pengkhususan adalah Lukisan Perkhidmatan Loji, Amalan Bengkel Loji, Kejuruteraan Loji Kuasa, Selenggaraan Loji dan Sistem Kawalan Loji di samping modul teras dan beberapa modul elektif yang perlu diambil oleh pelajar. Lulusan dapat mencari pekerjaan di dalam pelbagai industri kejuruteraan mekanikal dan industrtri-industri yang menggunakan loji kuasa.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah,Politeknik Seberang Perai


 
D33 - DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (PEMBUATAN)

SINOPSIS

Kursus ini mendedahkan pelajar kepada pelbagai teknik dalam industri proses pembuatan serta penggunaan mesin moden dalam pembuatan. Kursus ini juga memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan pengkhususan dalam bidang pembuatan. Modul pengkhususan adalah Sistem Pembuatan, Amalan Bengkel Pembuatan, Teknologi Bahan, Rekabentuk Pembuatan Terbantu Komputer, Kawalan Kualiti, Automasi Perindustrian dan Robotik, Ekonomi Pembuatan dan Kawalan Pembuatan di samping modul teras dan beberapa modul elektif. Lulusan dapat mencari pekerjaan di dalam pelbagai industri kejuruteraan mekanikal dan pembuatan.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:

Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Politeknik Kuching,Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Johor Bahru, Politeknik Seberang Perai, Politeknik Dungun, Politeknik Merlimau , Politeknik Tanjong Malim, Politeknik Kulim.



 
D34 - DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL(PENYAMANAN UDARA DAN PENYEJUKBEKUAN)

SINOPSIS

Kursus ini memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan seterusnya membawa kepada pengkhususan penyamanan udara dan penyejukbekuan. Modul pengkhususan adalah Teknologi Penyaman Udara dan Penyejukan, Amalan Bengkel Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan, Sistem Kawalan dan Rekabentuk Sistem Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan di samping beberapa modul teras dan beberapa modul elektif. Lulusan dapat mencari pekerjaan di dalam pelbagai industri kejuruteraan dan perkhidmatan berkaitan dengan penyejukbekuan atau penyamanan udara sebagai Juruteknik.
 

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Ungku Omar


 
D35 - DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (PERTANIAN)

SINOPSIS

Kursus ini adalah bertujuan untuk melatih tenaga manusia dalam pelbagai disiplin yang berkaitan dengan kejuruteraan pertanian. Mata pelajaran yang dipelajari termasuk Pengairan dan Saliran, Struktur Ladang, Kejenteraan Pertanian, Dinamik Bendalir dan Reka Bentuk.
 

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Kota Bharu


 
D37 - DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (PEMBUNGKUSAN)

SINOPSIS

Kursus ini memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan seterusnya membawa kepada pengkhususan dalam bidang pembungkusan serta penyenggaraan peralatan berkaitan. Modul pengkhususan adalah Sains Pembungkusan, Prinsip Pembungkusan, Proses Pembuatan Pembungkusan, Asas Percetakan, Operasi Pengeluaran Pembungkusan, Rekabentuk Pembungkusan, Amalan Bengkel Pembungkusan, Bahan Pembungkusan, Penukaran Pembungkusan, Ekonomi Pembungkusan dan Pembungkusan Gunaan di samping modul teras dan beberapa modul elektif. Lulusan dapat mencari pekerjaan di dalam pelbagai industri kejuruteraan mekanikal dan pembungkusan.

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah


 
D38 DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (PLASTIK)

SINOPSIS

Kursus ini memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan seterusnya membawa kepada pengkhususan dalam bidang plastik serta penyenggaraan peralatannya. Modul pengkhususan adalah Proses Pengeluaran Plastik, Rekabentuk Produk Plastik, Amalan Bengkel Plastik, Bahan Plastik, Pengalatan Prototaip Pantas, Teknologi Plastik dan Rekabentuk Acuan & Die Plastik di samping modul teras dan beberapa modul elektif. Kursus ini direkabentuk untuk melahirkan tenaga kerja separa ikhtisas/Juruteknik yang terlibat secara langsung dalam industri plastik dan juga industri kejuruteraan mekanikal yang lain.

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:

Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah,Politeknik Dungun



 
D39 - DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (TEKSTIL)
 

SINOPSIS

Kursus ini memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan seterusnya membawa kepada pengkhususan dalam bidang tekstil serta penyenggaraan peralatannya. Modul pengkhususan adalah Kimia Organik, Teknologi Serat, Teknologi Yarn, Teknologi Fabrik, Amalan Bengkel Tekstil, Pencelupan dan Kemasan dan Pengiraan Tekstil di samping modul teras dan beberapa modul elektif. Kursus ini direkabentuk untuk melahirkan tenaga kerja separa iktisas/Juruteknik yang terlibat secara langsung dalam industri tekstil dan juga industri kejuruteraan mekanikal yang lain.

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Seberang Perai


 
D40 - DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (BAHAN)
 

SINOPSIS

Kursus ini memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan seterusnya membawa kepada pengkhususan dalam bidang bahan kejuruteraan. Modul pengkhususan adalah Teknologi Pembuatan Bahan, Metalurgi, Pengurusan Perindustrian, Kawalan Kualiti, Teknologi Seramik, Kaca dan Komposit, Teknologi Polimer dan Ujian Bahan di samping modul teras dan beberapa modul elektif. Kursus ini direkabentuk untuk melahirkan tenaga kerja separa iktisas/Juruteknik yang terlibat secara langsung dalam bahan kejuruteraan serta membantu di dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan industri berasaskan logam, plastik dan seramik.

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Johor Bahru


 
D41 - DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKATRONIK

SINOPSIS

Kursus ini merangkumi pelbagai disiplin meliputi prinsip dan teori kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan elektrik dan elektronik. Kursus ini memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan seterusnya membawa kepada pengkhususan dalam bidang kejuruteraan mekatronik. Modul pengkhususan adalah Peranti Mekatronik, Sistem Mikro Pemproses dan Pengawal Mikro, Pengawal Logik Boleh Aturcara (PLC), Automasi Perindustrian dan Robotik, Sistem Komputer dan Aplikasi dan Mekanisma Penghantar Kuasa di samping modul teras dan beberapa modul elektif. Lulusan dapat mencari pekerjaan di dalam pelbagai industri pembuatan terutama dalam industri elektronik dan separuh pengalir.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Politeknik Kota Bharu , Politeknik Port Dickson , Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Johor Bahru, Politeknik Dungun, Politeknik Merlimau, Politeknik Tanjong Malim, Politeknik Kulim.


 
D70 - DIPLOMA REKA BENTUK GRAFIK

SINOPSIS

Kursus ini merangkumi antara lain bidang Reka Betuk Penerbitan, Pengiklanan, Komunikasi Korporat, Applikasi Multimedia dan juga mata pelajaran pilihan seperti Percetakan, Fotografi Lanjutan dan Grafik Persekitaran. Kursus ini berorientasikan kajian dan penyelesaian masalah ke arah membina individu yang kreatif dan inovatif. Pelajar akan didedahkan antara lain kepada teknik mereka bentuk secara konvensional dan juga teknologi terkini seperti penghasilan animasi berkomputer dan imej digital. Lulusan kursus ini akhirnya akan dapat memahami bidang reka betuk grafik dan dapat mengendali dan menggunakan teknologi yang berkaitan dengan penghasilan produk reka betuk grafik yang berkesan. Pelajar akan menjalani latihan industri pada semester empat bagi tujuan mendapat pengalaman bekerja dalam bidang berkaitan.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Johor Bahru


 
D71 - DIPLOMA REKA BENTUK INDUSTRI

SINOPSIS

Kursus ini merangkumi bidang Reka Bentuk Industri, Kejuruteraan Reka Bentuk, Reka Bentuk 3D, Amalan Bengkel, Amalan Iktisas dan Pengurusan Reka Bentuk Industri. Kursus ini memberi penekanan kepada kajian dan perkembangan minda pelajar. Pelajar kursus ini didorong bersifat kreatif dan inovatif, membawa idea-idea baru dan melakukan perubahan dalam mereka bentuk. Proses pembelajaran mengabungkan cara konvensional yang merupakan asas menjadikan seorang itu pereka sebenar dan penggunaan teknologi baru yang melengkapkan diri pereka kepada bersifat futuristik. Lulusan kursus ini akhirnya akan dapat memahami bidang reka bentuk industri yang dapat mengendali dan menggunakan teknologi terkini berkaitan dengan penghasilan produk reka bentuk industri yang berkesan. Pelajar akan menjalani latihan industri pada semester empat bagi tujuan mendapat pengalaman bekerja dalam bidang berkaitan.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Johor Bahru


 


D80- DIPLOMA KEJURUTERAAN PERKAPALAN


SINOPSIS

Kejuruteraan Perkapalan yang berkait rapat dengan kejuruteraan mekanikal memberi penekanan kepada pengendalian dan penyelenggaraan kapal, janakuasa marin, peralatan berkaitan dan juga pembinaan kapal dan seni bina kapal. Kursus ini juga memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal sebelum membawa kepada bidang pengkhususan kejuruteraan perkapalan. Pelajar perlu mengambil modul teras dan beberapa modul elektif kursus ini. Kursus selama 7 semester ini juga digabungkan dengan latihan limbungan selama tiga bulan dan latihan di atas kapal selama enam bulan.

* Lelaki sahaja, tidak rabun warna  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Ungku Omar


 
D90 - DIPLOMA TEKNOLOGI MAKANAN

SINOPSIS

Kursus ini mendedahkan pelajar kepada asas teknologi makanan dalam aspek teori dan amali. Pelajar akan mengikuti kuliah, kerja makmal, melaksanakan tugasan, projek penyelidikan dan latihan industri. Program pengajian meliputi pelbagai aspek sains dan teknologi makanan, di antaranya aspek kimia, mikrobiologi, teknologi pemprosesan, kawalan mutu, asas kejuruteraan makanan dan perkembangan produk makanan. Setelah menamatkan pengajian, pelajar boleh menceburi kerjaya sebagai pembantu teknik, pembantu penyelidik, penyelia pemprosesan atau kawalan mutu dalam industri makanan dan industri oleokimia atau melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah



KURSUS DIPLOMA BIDANG PERDAGANGAN


 
D50 - DIPLOMA AKAUNTANSI

SINOPSIS

Program tiga tahun Diploma Akauntansi menyediakan latihan teori dan praktikal dalam bidang perakaunan bagi membolehkan pelajar memasuki komuniti perniagaan serta dapat berfungsi dengan cekap dan lancar menggunakan sistem manual dan komputer. Kursus ini mencakupi semua bidang perakaunan seperti kewangan, pengkosan, pengurusan, percukaian dan pengauditan. Selain bidang perakaunan, pelajar juga mempelajari bidang lain yang berkaitan dengan undang-undang syarikat, undang-undang perdagangan, pengurusan perniagaan dan ekonomi yang dibentuk untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran pengurusan bagi membolehkan mereka meningkat ke jawatan penyeliaan. Semua pelajar diwajibkan menjalani latihan industri selama 6 bulan di semester empat bagi memperolehi pengalaman kerja dalam persekitaran perniagaan dan perakaunan.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah,Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Politeknik Kota Bharu , Politeknik Kuching , Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota KinabaluPoliteknik Seberang Perai,Politeknik Merlimau, Politeknik Tanjong Malim, Politeknik Kulim.


 
D51 - DIPLOMA INSURANS

SINOPSIS

Industri insurans adalah satu industri perkhidmatan yang giat berkembang di Malaysia dan dijangka akan terus berkembang selari dengan kemajuan ekonomi Malaysia yang menuju ke arah peningkatan industri insurans. Program ini dibentuk bagi melahirkan graduan yang berkelayakan bagi memenuhi kekurangan tenaga dalam industri. Program ini meliputi bidang praktis insurans yang penting, aspek perundangan dalam insurans, insurans peribadi dan perdagangan, jenis insurans, penanggungan, tuntutan dan pengurusan risiko. Program ini juga membekalkan pelajar dengan maklumat tentang perakaunan, ekonomi, statistik, komputer perniagaan dan keusahawanan. Semua pelajar diwajibkan menjalani latihan industri selama 6 bulan di semester empat. Ini membolehkan mereka memperolehi pengalaman kerja dan kefahaman yang jelas dalam perkhidmatan perniagaan insurans yang semakin kompetitif.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
 Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah


 
D52 - DIPLOMA KEWANGAN DAN PERBANKAN

SINOPSIS

Program diploma ini dibentuk bagi melengkapkan pelajar dengan asas pengetahuan dan kemahiran yang kukuh untuk membolehkan mereka berfungsi dengan berkesan dalam persekitaran yang kompetitif. Program ini mencakupi bidang pengajian seperti sistem perbankan dalam dan luar negeri, pengurusan kewangan dan pelaburan, sistem perbankan Islam, pengurusan portfolio dan teknologi komputer dalam perbankan. Bidang lain seperti perakaunan, ekonomi, statistik dan insurans juga turut dipelajari. Semua pelajar diwajibkan menjalani latihan industri selama 6 bulan bagi membolehkan mereka menimba pengalaman kerja dan mendapat pengetahuan secara langsung daripada persekitaran perbankan dan kewangan yang kompetitif.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Ungku Omar


 
D53 - DIPLOMA PEMASARAN

SINOPSIS

Program ini bertujuan menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam pengiklanan, pengurusan jualan, promosi jualan, analisis pemasaran, membuat keputusan, perancangan dan pengawalan, peruncitan, penyelidikan pemasaran serta prosedur import dan eksport. Bagi menjamin kemahiran yang seimbang, bidang pengajian yang lain juga dibekalkan seperti perakaunan, ekonomi, undang-undang komersan, statistik dan komputer perniagaan. Semua pelajar diwajibkan menjalani latihan industri selama 6 bulan di semester empat.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Politeknik Kota Bharu , Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Merlimau, Politeknik Tanjong Malim, Politeknik Kulim.


 
D55 - DIPLOMA PENGAJIAN PERNIAGAAN (PENGURUSAN)

SINOPSIS

Program tiga tahun pengajian perniagaan dibentuk bagi menyediakan pelajar dengan pengetahuan perdagangan yang komprehensif. Tumpuan utama diberi kepada pelbagai bidang pengajian perniagaan seperti pemasaran, perakaunan, statistik, ekonomi, pengurusan perniagaan, undang-undang syarikat, percukaian dan matematik pengurusan. Kepelbagaian mata pelajaran yang dicakupi dalam program ini dibentuk untuk membolehkan pelajar yang mempunyai kecenderungan keusahawanan menceburi dalam perniagaan mereka sendiri. Pelajar diwajibkan menjalani latihan industri selama 6 bulan di semester empat bagi membolehkan mereka memperolehi pengalaman pekerjaan dan kefahaman tentang dunia perniagaan yang sebenar. Bagi pelajar yang berhasrat untuk bekerja dengan organisasi perniagaan, program ini membantu mereka agar dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai persekitaran perniagaan.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Ungku Omar, Politeknik Kota Bharu , Politeknik Kuching, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Seberang Perai, Politeknik Perlis


 
D57 -DIPLOMA PENGAJIAN PERNIAGAAN (PERNIAGAAN ANTARABANGSA)

SINOPSIS

Program diploma ini dibentuk untuk menyediakan pelajar supaya mahir dengan prosedur perniagaan antarabangsa dan berupaya menyediakan segala dokumentasi yang diperlukan bagi urusniaga import dan eksport, mengelola dan menyelia pejabat jualan, mengelola dan mengurus aktiviti dan penyelidikan pemasaran bagi tujuan perniagaan antarabangsa. Program ini juga dibentuk dengan mengambilkira pelbagai bidang pengajian seperti perakaunan, ekonomi, pengaturcaraan asas komputer dan pengurusan. Semua pelajar diwajibkan menjalani latihan industri selama 6 bulan di semester empat untuk membolehkan mereka memperolehi pengalaman kerja sebenar dalam aktiviti perniagaan antarabangsa.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah


 
D58 - DIPLOMA SAINS KESETIAUSAHAAN

SINOPSIS

Matlamat kursus ini adalah untuk melahirkan setiausaha yang profesional, cekap, efisien dan berketrampilan. Pelajar dilatih dalam pengurusan pejabat, struktur perdagangan, terjemahan Bahasa Melayu dan Inggeris, komputer, pembentukan personaliti, penyediaan, speed typing, trengkas, shorthand dan menaip. Pelajar menjalani latihan amali dan latihan di industri. Di samping layak untuk memegang jawatan Setiausaha, pelajar yang telah tamat pengajian boleh mengisi jawatan pembantu tadbir, pembantu peribadi dan lain-lain bidang yang berkaitan.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Politeknik Port Dickson, Politeknik Sabak Bernam, Politeknik Perlis



KURSUS DIPLOMA BIDANG HOSPITALITI DAN FESYEN


 
D65 - DIPLOMA PENGURUSAN HOTEL DAN KATERING

SINOPSIS

Kursus ini mendedahkan pelajar kepada asas pengurusan Hotel dan Katering dalam aspek teori dan amali. Pelajar akan mengikuti kuliah, tugasan bertulis, projek penulisan dan katering, kerja makmal, dapur, restoran, bilik dobi dan sistem penempahan berkomputer (CRS) dan latihan industri. Pelajar akan digalakkan mengikut program bekerja sambil belajar yang dikendalikan oleh politeknik atau sektor swasta. Program ini memberi penekanan seimbang untuk teori dan amali yang berkaitan dengan perkembangan di sektor industri ini. Program pengajian antara lain meliputi pengetahuan dan kemahiran di bahagian operasi seperti kaunter perkhidmatan, pengemasan, mendobi, dapur dan restoran. Mata pelajaran sokongan seperti Komunikasi Interpersonal, Makanan & Pemakanan, Sanitasi, Pemasaran, Perakaunan dan Aplikasi Komputer akan juga diberi penekanan. Pelajar juga akan didedahkan kepada prinsip dan amalan pengurusan seperti Pengurusan Sumber Manusia, Perakaunan Pengurusan, Pemasaran Strategik, Pengurusan Kos, Penyeliaan Penyelenggaraan dan Undang-Undang Hospitaliti. Peluang pekerjaan adalah luas kerana kandungan kursus dan lulusan berpeluang menceburi kerjaya dalam industri perhotelan dan perkhidmatan makanan.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Johor Bahru, Politeknik Merlimau, Politeknik Sabak Bernam.


 
D66 - DIPLOMA PENGURUSAN PELANCONGAN

SINOPSIS

Kursus ini digubal untuk membina tenaga pekerja yang berpengetahuan dan berketrampilan bagi melaksanakan tugas di dalam mana-mana sektor industri pelancongan. Skop kursus ini merangkumi elemen-elemen penting dalam disiplin pelancongan seperti pembinaan asas pengetahuan industri pelancongan, pengurusan, perakaunan, pemasaran, perancangan, interpretasi dan keusahawanan. Pendekatan gabung-jalin di antara latihan amali dan teori digunakan sepenuhnya dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kursus ini juga menawarkan latihan berdasarkan keperluan semasa dalam industri pelancongan seperti Pelancongan Rekreasi, Tempahan dan Tiketan, Pengurusan MICE, Interpretasi, Komunikasi Interpersonal, Teknik Pemandu Pelancong, Pengurusan Agensi Pelancongan, Pengurusan Strategik dan Perancangan Pelancongan. Subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral pula diterapkan untuk memberikan pendidikan bersepadu kepada pelajar. Pelajar juga dikehendaki menjalani latihan industri selama 6 bulan di institusi yang berkaitan. Beberapa mata pelajaran elektif turut ditawarkan. Peluang pekerjaan terbuka luas bagi graduan untuk berkhidmat di dalam mana-mana sektor industri pelancongan termasuklah Agensi pengembaraan dan pelancongan, Pusat Taman dan Rekreasi, Muzium, Taman Tema, Organisasi Pelancongan Swasta, Agensi Pengangkutan dan Agensi Kerajaan. Para graduan yang memiliki semangat keusahawanan pula boleh memulakan perniagaan sendiri dalam mana-mana bidang pelancongan yang mereka minati.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Johor Bahru, Politeknik Merlimau, Politeknik Sabak Bernam.


 
D67 - DIPLOMA REKA BENTUK FESYEN DAN PAKAIAN

SINOPSIS

Kursus ini bertujuan untuk memberi pengetahuan yang khusus kepada pelajar berkaitan dengan aktiviti menghasilkan pakaian yang berkualiti dan diterima pakai oleh pasaran tempatan dan antarabangsa. Pelajar akan mengikuti kuliah, studio rekaan fesyen, bengkel jahitan, tugasan, projek dan latihan industri. Subjek yang ditawarkan termasuklah Senireka Fesyen, Teknologi Membuat Pakaian, Peragaan Apparel, Kajian Fabrik dan Senireka Tekstil. Peluang kerjaya bagi lulusan kursus ini adalah seperti pemotong pola, pereka fesyen, pemborong fesyen, artis peragaan apparel ataupun menceburi bidang keusahawanan yang berkaitan dengan perniagaan fesyen dan pakaian.  

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Johor Bahru



D67 - DIPLOMA REKAAN FESYEN DAN PAKAIAN

SINOPSIS

Kursus ini bertujuan untuk memberi pengetahuan yang khusus kepada pelajar berkaitan dengan aktiviti menghasilkan pakaian yang berkualiti dan diterima pakai oleh pasaran tempatan dan antarabangsa. Pelajar akan mengikuti kuliah, studio rekaan fesyen, bengkel jahitan, tugasan, projek dan latihan industri. Subjek yang ditawarkan termasuklah Senireka Fesyen, Teknologi Membuat Pakaian, Peragaan Apparel, Kajian Fabrik dan Senireka Tekstil. Peluang kerjaya bagi lulusan kursus ini adalah seperti pemotong pola, pereka fesyen, pemborong fesyen, artis peragaan apparel ataupun menceburi bidang keusahawanan yang berkaitan dengan perniagaan fesyen dan pakaian. > 

KURSUS INI DITAWARKAN DI POLITEKNIK BERIKUT:
Politeknik Johor Bahru



 Senarai Kursus Diploma I Laman Utama