SINOPSIS PROGRAM SIJIL POLITEKNIK UNTUK LEPASAN SPM
KURSUS SIJIL BIDANG KEJURUTERAAN
Kursus ini bertujuan menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran asas yang diperlukan dalam industri kejuruteraan awam. Pelajar akan mengikuti kuliah, menjalankan kerja amali seperti kerja kayu, kerja paip, kerja bata, kerja luar ukur dan lukisan kejuruteraan. Kerja makmal pula akan meliputi kerja dalam bidang konkrit, struktur, hidraulik, geoteknik dan kejuruteraan jalanraya. Pelajar juga akan didedahkan kepada penggunaan perisian komputer dan akan menjalani latihan industri selama enam bulan. Bidang utama kursus ini meliputi Bahan dan Binaan Kej. Awam, Lukisan Kejuruteraan, CADD, Teknologi Konkrit, Ukur Kejuruteraan, Mekanik Struktur, Aturcara Kontrak dan Ukur Binaan, Geoteknik, Hidraulik dan Kejuruteraan Jalanraya. Lulusan Sijil Kejuruteraan Awam boleh mendapatkan pekerjaan di industri kejuruteraan awam sebagai Juruteknik, Penyelia dan Kerani Tapak. Lulusan sijil ini juga boleh melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi di Politeknik dan Universiti
Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik yang diperlukan dalam industri petroleum. Ia meliputi penjanaan, penghantaran & pengagihan elektrik dan pengenalan kepada mesin elektrik. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Antara kandungan kursus ini terdiri dari modul Teknologi Elektrik, Sistem Elektronik, Amali Kejuruteraan, Rekabentuk Terbantu Komputer, Kelengkapan Mekanik dan Mesin Elektrik. Kursus ini juga menawarkan modul-modul elektif sebagai pilihan kepada pelajar. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus ini berpeluang menceburi bidang pekerjaan sebagai Juruteknik di loji-logi pemprosesan petroleum, gas, petrokimia dan dalam industri elektronik. Lulusan ini juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.
Kursus ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Kandungan kursus ini terdiri dari modul Teknologi Elektrik, Sistem Elektronik, Baikpulih Alatan Elektronik dan Rekabentuk Terbantu Komputer. Kursus ini juga menawarkan modul-modul elektif sebagai pilihan kepada pelajar. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus ini berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Juruteknik sama ada dalam bidang elektrik atau elektronik. Lulusan ini juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.
Kursus ini mendedahkan pelajar kepada asas kejuruteraan mekanikal dalam aspek teori dan amali. Pelajar akan mengikuti kuliah, tugasan rekabentuk, projek pembuatan, kerja makmal dan latihan industri. Program pengajian antara lain meliputi bidang Kaji Logam, Sains Bahan, Amalan Bengkel Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik. Peluang pekerjaan adalah luas kerana kandungan kursus dan lulusan berpeluang menceburi kerjaya dalam industri kejuruteraan dan pembuatan.
Kursus ini meliputi bidang pengetahuan dan kemahiran yang luas yang diamalkan dalam industri automotif terutama aspek kejuruteraan automotif dan penyenggaraan. Mata pelajaran pengkhususan yang dipelajari termasuk Teknologi Automotif, Amalan Bengkel Automotif, Kajidaya Kenderaan Bermotor, Enjin Pembakaran Dalam dan Hidraulik Mobil di samping beberapa mata pelajaran teras dan elektif. Lulusan berpeluang menceburi pekerjaan dalam pelbagai industri automotif dan perkhidmatan berkaitan automotif.
Kursus ini akan mendedahkan pelajar kepada asas kejuruteraan mekanikal dengan pengkhususan penyamanan udara dan penyejukbekuan. Mata pelajaran yang dipelajari termasuk Teknologi Penyaman Udara dan Penyejukan, Amalan Bengkel Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan, Sistem Kawalan dan Rekabentuk Sistem Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan dan beberapa mata pelajaran teras dan elektif. Lulusan berpeluang menceburi pekerjaan dalam pelbagai industri kejuruteraan dan perkhidmatan berkaitan dengan penyejukbekuan atau penyamanan udara.
Kursus ini direkabentuk untuk menyediakan Juruteknik dengan pengetahuan pengkhususan dan kemahiran untuk industri petroleum. Mata pelajaran yang dipelajari termasuk Asas Petroleum dan Proses, Keselamatan Industri, Asas Kimia Industri, Kelengkapan Statik dan Kelengkapan Berputar di samping beberapa mata pelajaran teras. Selain daripada industri petroleum, lulusan berpeluang menceburi pekerjaan di dalam industri kejuruteraan dan pembuatan.
Pelajar bagi kursus ini dilengkapkan dengan teori dan amali reka bentuk grafik yang memberi penekanan kepada kemahiran melukis dan kefahaman asas reka bentuk. Pelajar akan mengikuti latihan kerja di bengkel dan makmal, tugasan merekabentuk, lawatan sambil belajar, tutorial dan latihan di industri. Pelajar akan diajar modul-modul seperti Ilustrasi, Pengiklanan, Penerbitan Desktop, Identiti Korporat dan Fotografi. Setelah menamatkan kursus, para lulusan berpeluang menceburi kerjaya di bidang yang berkaitan dengan reka bentuk grafik.
Pelajar bagi kursus ini dilengkapkan dengan teori dan amali reka bentuk industri yang memberi penekanan kepada kemahiran melukis dan kefahaman asas reka bentuk. Pelajar akan mengikuti latihan kerja di bengkel dan makmal, tugasan merekabentuk, tutorial dan latihan di industri. Pelajar akan diajar modul-modul seperti Reka Bentuk dan Surihan Bantuan Komputer, Lukisan Kejuruteraan dan Rekabentuk Industri. Setelah menamatkan kursus, para lulusan berpeluang menceburi kerjaya di bidang yang berkaitan dengan reka bentuk industri
KURSUS SIJIL BIDANG PERDAGANGAN
Kursus ini dibentuk bertujuan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan asas perakaunan, ekonomi, statistik, pemasaran, pengurusan dan komputer. Pelajar juga diperkenalkan kepada aspek persekitaran perdagangan dan organisasi. Semua pelajar diwajibkan menjalani latihan di industri selama 6 bulan dalam semester tiga bagi membolehkan mereka memperolehi pengalaman pekerjaan di sektor perdagangan.
KURSUS SIJIL BIDANG HOSPITALITI DAN FESYEN
Kursus ini bertujuan untuk memberi pengetahuan yang khusus kepada pelajar berkaitan dengan aktiviti menghasilkan pakaian yang berkualiti dan diterima pakai oleh pasaran tempatan dan antarabangsa. Pelajar akan mengikuti kuliah, studio rekaan fesyen, bengkel jahitan, tugasan, projek dan latihan industri. Subjek yang ditawarkan termasuklah senireka fesyen, teknologi membuat pakaian, peragaan apparel, kajian fabrik dan senireka tekstil. Peluang kerjaya bagi lulusan kursus ini adalah seperti Penolong Pemotong Pola, Penolong Pereka Fesyen, Penolong Pemborong Fesyen, Penolong Artis Peragaan Apparel ataupun menceburi bidang keusahawanan yang berkaitan dengan perniagaan fesyen dan pakaian.